Isnin, 31 Disember 2012

LAPORAN AWAL PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN 2013 - 2015


Bagi memenuhi keperluan semua rakyat Malaysia dan menyediakan negara untuk bersaing di peringkat  antarabangsa adalah penting untuk negara melakarkan wawasan kejayaan sistem pendidikan yang ingin dibangunkan, khusus berdasarkan konteks Malaysia. Kumpulan murid terbaik yang bagaimanakah ingin dihasilkan untuk berdepan dengan cabaran ekonomi abad ke-21? Jenis pendidikan yang bagaimanakah perlu disediakan untuk mereka hadapi dunia globalisasi yang pantas berubah? Kedua-dua aspirasi ini merangkumi dua aspek: pertama, sistem pendidikan secara keseluruhan, dan kedua, murid secara individu. Visi dan aspirasi ini akan menjadi landasan transformasi sistem pendidikan Malaysia.













Pelan pembangunan pendidikan ini berhasrat untuk mencapai lima keberhasilan teras pendidikan bagi menentukan kejayaaan sistem pendidikan Malaysia secara keseluruhan, iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan. Keberhasilan yang ditetapkan ini adalah selari dengan aspirasi yang disuarakan oleh peserta Dialog Nasional Pendidikan Kebangsaan. Sistem pendidikan berprestasi tinggi juga menetapkan teras yang sama yang perlu dicapai. Tindakan bagi merealisasikan lima teras berkenaan adalah penting, dan tidak ada inisiatif dalam teras berkenaan yang boleh dilaksanakan secara berasingan, malah perlu disepadukan dan digerakkan secara bersama.

􀅀 Akses: Setiap kanak-kanak di Malaysia berhak mendapat kesamarataan peluang pendidikan bagi membolehkan mereka mencapai potensi masing-masing. Kementerian perlu memastikan kadar akses sejagat dalam kalangan kanak-kanak dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat menengah atas (Tingkatan 5) menjelang tahun 2020.

􀅀 Kualiti: Semua kanak-kanak akan berpeluang mendapatkan pendidikan cemerlang berdasarkan keunikan sistem pendidikan di Malaysia dan setanding dengan system pendidikan antarabangsa. Sistem pendidikan di Malaysia menetapkan aspirasi untuk meletakkan Malaysia dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa mengikut pengukuran TIMSS dan PISA dalam tempoh 15 tahun yang akan datang (TIMSS dan PISA menguji Bacaan, Matematik dan Sains sahaja). Pentaksiran tambahan yang menangani dimensi kualiti lain yang relevan dengan konteks Malaysia boleh dimasukkan apabila dimensi itu diterima di peringkat antarabangsa.

􀅀 Ekuiti: Sistem pendidikan berprestasi tinggi menyediakan pendidikan berkualiti kepada setiap kanak-kanak tanpa mengira kedudukan gegografi, jantina atau latar belakang sosioekonomi. Kementerian berhasrat untuk merapatkan lagi jurang pencapaian antara murid bandar dan luar bandar, tahap sosioekonomi dan pencapaian antara jantina sehingga 50% menjelang tahun 2020.
􀅀 Perpaduan: Murid yang berumur antara 7 hingga 17 tahun menghabiskan lebih satu perempat daripada masa mereka di sekolah. Oleh itu, sekolah berperanan untuk mengukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan murid. Melalui interaksi bersama murid lain dari pelbagai latar belakang sosioekonomi, agama dan etnik, dan belajar untuk memahami, menerima serta menghayati perbezaan, suatu perkongsian pengalaman dan aspirasi dapat dibentuk. Kementerian berhasrat untuk menjanakan suatu sistem pendidikan yang memberi peluang kepada murid berkongsi pengalaman dan aspirasi demi membentuk dan memperkukuhkan lagi asas perpaduan rakyat Malaysia.

􀅀 Kecekapan: Sistem pendidikan Malaysia telah menerima peruntukan yang tinggi, namun peningkatan keberhasilan murid masih tidak setanding dengan sumber yang telah disalurkan ke dalam sistem. Walaupun Kerajaan akan terus mengekalkan tahap pelaburan masa kini, Kementerian berhasrat untuk memaksimumkan keberhasilan murid mengikut tahap peruntukan semasa.

Aspirasi murid
Menjangkaui seluruh sistem pendidikan ini, pihak berkepentingan jelas mengenai konsep “kualiti” yang perlu ada pada setiap murid. Maka pendidik, ibu bapa, murid dan semua ahli masyarakat perlu bersatu dalam merealisasikan visi pendidikan sebagai wadah pembangunan murid yang holistic dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Visi ini juga menjadi asas kepada semua usaha penambahbaikan sistem pendidikan sejak Falsafah Pendidikan Kebangsaan digubal pada tahun 1988. Untuk maju, Pelan Pembangunan Pendidikan akan terus menggunakan semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan bagi membangunkan pendidikan seimbang sebagai asas pencapaian aspirasi setiap murid. Pelan ini juga merujuk sistem pendidikan berprestasi tinggi yang dicapai oleh negara lain bagi mengenal pasti kemahiran khusus yang boleh diterapkan kepada murid bagi membolehkan mereka menerajui pembangunan ekonomi global .

􀅀 Pengetahuan: Di peringkat paling asas, setiap kanak kanak perlu menguasai kemahiran literasi dan numerasi. Selain itu, adalah penting bagi setiap murid menguasai mata pelajaran teras seperti Matematik dan Sains. Murid juga perlu didedahkan dengan pengetahuan am yang
menyeluruh tentang Malaysia, Asia dan dunia menerusi dunia menerusi mata pelajaran Sejarah, Kemanusian dan Geografi. Murid juga digalakkan untuk menambah ilmu dan kemahiran dalam bidang lain seperti Seni, Muzik dan Sukan. Setiap murid belajar cara untuk memperoleh ilmu pengetahuan sepanjang kehidupan mereka (menerapkan perasaan ingin tahu dan mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat) untuk membolehkan murid menghubungkan pelbagai disiplin ilmu. Lebih penting lagi, dalam ekonomi berasaskan pengetahuan, mereka mencipta ilmu yang baharu. Setiap murid perlu menguasai pelbagai kemahiran kognitif termasuk penyelesaian masalah, penaakulan dan pemikiran kreatif dan inovatif. Dalam sistem pendidikan, bidang ini kurang diberi perhatian menyebabkan murid kurang berupaya untuk mengaplikasi ilmu pengetahuan dan berfikir secara kreatif di luar konteks akademik.

􀅀 Kemahiran Memimpin: Dalam dunia yang saling berhubung kait, kebolehan untuk memimpin dan bekerja dengan orang lain secara berkesan adalah penting. Sistem pendidikan negara akan membantu setiap murid mencapai potensi sepenuhnya dengan mewujudkan peluang yang formal dan bukan formal, bekerja dalam pasukan dan mengamalkan ciri kepimpinan. Dalam konteks system pendidikan, kepimpinan merangkumi empat dimensi, iaitu keusahawanan, berdaya tahan, kecerdasan emosi, dan kemahiran berkomunikasi dengan berkesan.

􀅀 Kemahiran Dwibahasa: Setiap kanak-kanak menguasai sekurang-kurangnya bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan, serta bahasa Inggeris sebagai bahasa komuniksai antarabangsa. Dengan tahap penguasaan bahasa ini selepas menamatkan persekolahan, murid sepatutnya berupaya menggunakan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dalam persekitaran kerja. Di samping itu, Kementerian akan menggalakkan semua murid untuk mempelajarai bahasa lain sebagai bahasa tambahan.

􀅀 Etika dan Kerohanian: Sistem pendidikan akan menyediakan pengalaman kepada setiap kanak-kanak untuk berdepan dengan cabaran yang bakal ditempuhi ketika dewasa, agar dapat menyelesaikan konflik secara harmoni, bijak membuat pertimbangan, berpegang pada prinsip ketika berada dalam situasi yang kritikal, serta berani melakukan sesuatu yang betul. Sistem pendidikan juga berhasrat untuk membentuk individu penyayang yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan komuniti dan negara.

􀅀 Identiti Nasional: Identiti nasional yang kukuh terikat dengan prinsip Rukunegara yang diperlukan untuk kejayaan masa depan Malaysia. Setiap murid akan berbangga dikenali sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira etnik, agama atau status sosioekonomi. Semangat patriotic perlu dipupuk dalam diri setiap murid dengan cara memahami sejarah negara, dan berkongsi aspirasi yang sama untuk masa depan negara. Demi mewujudkan identity nasional yang sebenar, semangat kukuh cintakan tanah air diperlukan. Identiti nasional akan dapat dicapai bukan hanya melalui belajar memahami, tetapi juga menerima serta menghayati hakikat kepelbagaian.

11 ANJAKAN TRANFORMASI


Kementerian telah mengenal pasti 11 anjakan yang perlu dilakukan bagi menghasilkan perubahan yang dihasratkan oleh semua rakyat Malaysia. Setiap anjakan perlu memberikan impak kepada sekurang-kurangnya satu daripada lima keberhasilan sistem, seperti akses, kualiti, ekuiti, perpaduan, dan kecekapan. Dimensi kualiti menjadi fokus utama yang merentasi semua anjakan kerana kualiti merupakan dimensi yang penting dan perlu diberikan perhatian yang segera. Sebahagian daripada anjakan ini merupakan perubahan strategi dan hala tuju pendidikan. Anjakan yang lain merupakan perubahan operasi yang telah dan sedang dilaksanakan mengikut dasar sedia ada di peringkat Kementerian dan sekolah. Sama ada perubahan bersifat strategi atau operasi, semuanya menggambarkan perubahan amalan semasa. Sebelas anjakan yang digariskan kementerian ialah:

1. Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa:
Kementerian akan melancarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disemak semula pada tahun 2017. Kementerian akan menimbang pindaan kepada peraturan sedia ada untuk memberikan kelonggaran kepada sekolah mengamalkan jadual anjal. Selain itu Kementerian akan mengkaji kemungkinan melaksanakan laluan pembelajaran pintas selain pendidikan arus perdana, termasuklah membenarkan murid berpencapaian tinggi menamatkan pengajian sekolah menengah dalam masa empat tahun berbanding lima tahun sekarang dan menamatkan sekolah rendah dalam masa lima tahun, berbanding enam tahun. Peperiksaan UPSR pada 2016 akan mengandungi 80% soalan berbentuk pemikiran aras tinggi.

2. Memastikan setiap murid profisien dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris:
Kementerian akan meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris guru dengan memastikan semua 70,000 guru Bahasa Inggeris lulus Cambridge Placement Test (CPT) dalam tempoh dua tahun. Guru yang tidak mencapai standard ditetapkan akan mengikuti latihan intensif. Modul Sastera Inggeris akan diwajibkan kepada murid sekolah menengah. Bagi memantapkan penguasaan Bahasa Malaysia pula, Kementerian akan memperkenalkan kurikulum Bahasa Malaysia yang standard pada peringkat rendah, merangkumi semua sekolah jenis kebangsaan. Dengan perlaksanaan kurikulum ini, Kelas Peralihan di sekolah menengah kebangsaan akan dimansuhkan mulai 2017. Kerajaan juga akan menggalakkan murid mempelajari bahasa tambahan seperti bahasa Cina, India, Tamil, Arab serta bahasa ibunda atau bahasa antarabangsa yang lain.

3. Melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai:
Bagi memupuk semangat patriotisme di kalangan murid dalam usaha membina satu identiti nasional yang kukuh dan jitu, Kementerian akan memperkukuhkan Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan elemen Sivik menjelang 2017. Pedagogi untuk Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral juga disemak semula untuk melibatkan lebih banyak aktiviti main peranan (role-play), simulasi, perbincangan dan tugasan dalam kumpulan kecil. Bagi murid bukan Islam, Pendidikan Moral akan mengandungi pemahaman tentang nilai teras semua agama utama di Malaysia. Kementerian juga akan mengkaji membolehkan murid bukan Islam berkongsi kelas yang sama apabila nilai-nilai sejagat diajar.

4. Meningkatkan kualiti guru dan menjadikan profesion keguruan sebagai profesion pilihan:
Kementerian akan mengetatkan syarat kemasukan ke latihan perguruan dengan mensasarkan hanya 30 peratus teratas dari kelompok pelajar cemerlang menyertai profesion perguruan. Bagi guru-guru yang sudah ada dalam sistem, Kementerian akan mengukuhkan pembangunan kerjaya mereka. Guru berprestasi tinggi berpeluang menikmati kenaikan pangkat bermula daripada Gred DG14 sehingga DG54 dalam tempoh yang lebih singkat, iaitu kurang daripada 25 tahun.

5. Memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah:
Kementerian akan memperkenalkan kriteria pemilihan pengetua dan guru besar berasaskan kompetensi serta memperkukuhkan proses perancangan penggantian pengetua dan guru besar mulai 2013. Kementerian juga akan menempatkan pengetua atau guru besar cemerlang di sekolah-sekolah luar bandar dan di kawasan-kawasan miskin bandar.

6. Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan:
Kementerian akan menempatkan Jurulatih Mata Pelajaran Khusus Program Penambahbaikan Sekolah (SISC+) dan Jurulatih Pengetua Rakan Penambahbaikan Sekolah (Si-Partners) secara sepenuh masa di Pejabat Pelajaran Daerah. Jurulatih-jurulatih berkenaan akan memberikan bimbingan secara terus kepada sekolah berprestasi rendah. Satu projek perintis akan dilaksanakan di Sabah dan Kedah mulai Januari 2013 sementara perlaksanaan di seluruh negara bermula Januari 2014.

7. Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran:
Kementerian akan meningkatkan akses internet dan persekitaran pembelajaran maya melalui perlaksanaan 1BestariNet bagi semua 10,000 buah sekolah yang dijangka selesai sepenuhnya pada penghujung 2013. Dalam masa terdekat, semua murid akan mempunyai akses kepada rangkaian 4G di sekolah yang akan menyediakan landasan untuk perlaksanaan pembelajaran secara interaktif.

8. Mentransformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian Kementerian Pelajaran:
Struktur organisasi Kementerian akan disusun semula agar fungsi bahagian tidak bertindih dan lebih ramai tenaga kerja akan ditempatkan di PPD yang akan terlibat secara langsung dalam memantau dan mengurus prestasi sekolah.

9. Memperluaskan jalinan kerjasama dengan ibubapa, komuniti dan sektor swasta
Kementerian akan memperluaskan capaian Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) untuk membolehkan ibubapa memantau kemajuan anak mereka di sekolah secara atas talian. Kementerian juga akan menambah bilangan Sekolah Amanah kepada 500 buah menjelang 2025 dan turut melibatkan kumpulan alumni dan pertubuhan bukan kerajaan sebagai penganjur.
  
10. Memaksimumkan pulangan bagi setiap ringgit yang dibelanjakan:
Kementerian akan mengaitkan setiap program yang dilaksanakan dengan keberhasilan murid yang hendak dicapai dan merasionalisasi program berimpak rendah setiap tahun, Kementerian akan meningkatkan kecekapan dalam mengurus perbelanjaan dengan memberi keutamaan kepada bidang paling kritikal seperti peningkatan kemahiran dan latihan guru.
  
11. Meningkatkan Ketelusan akauntabiliti awam:
Semua pihak berkepentingan akan mempunyai akses yang tetap dan telus berkenaan tahap kemajuan setiap inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian.  Laporan Tahunan mengenai kemajuan sasaran dan inisiatif pelan ini akan ditertbitkan utntuk tatapan umum mulai 2013.

URUTAN ANJAKAN TRANFORMASI


Transformasi yang dihasratkan adalah luas dan rencam. Oleh itu, banyak inisiatif yang telah dibangunkan merupakan sebahagian daripada transformasi yang akan dilaksanakan. Setiap inisiatif adalah penting dan sangat bermakna, dan inisiatif ini penting untuk diselaraskan dengan teliti supaya sistem pendidikan dapat melaksanakannya dengan baik dan berkesan. Sudah menjadi kelaziman, kejayaan sesuatu transformasi
yang dijalankan oleh sektor awam dan swasta adalah dengan meletakkan keutamaan dalam beberapa bidang yang perlu ditambah baik. Keutamaan yang ditetapkan adalah ditentukan oleh dua faktor, iaitu pencapaian semasa pada permulaan transformasi dan bukti antarabangsa tentang faktor penting membawa kepada keberhasilan murid. Berdasarkan keperluan membina kebolehan dan keupayaan sistem pendidikan negara, Kementerian telah menyusun transformasi yang akan dilaksanakan dalam tiga gelombang
  
􀅀 Gelombang 1 (2013-2015): Mengubah sistem dengan memberi sokongan kepada guru dan penekanan kepada kemahiran teras. Kementerian memberi penekanan kepada fasa ini dengan menambah baik

􀆒 Membimbing guru secara khusus bagi meningkatkan standard guru khususnya dalam mata pelajaran teras seperti Matematik, Sains, BM dan BI
􀆒 Standard kemasukan yang lebih tinggi bagi guru baharu
􀆒 Mewujudkan Pembimbing Pengetua yang berdedikasi untuk sekolah Band 5,6 & 7 dan mengukuhkan kriteria pemilihan untuk pemimpin sekolah bagi mengukuhkan kepimpinan sekolah
􀆒 Merombak soalan peperiksaan dengan tumpuan kepada peningkatan soalan kemahiran berfikir aras tinggi
􀆒 Standard BM yang sama dilaksanakan pada peringkat rendah dengan penyediaan bantuan pemulihan kepada murid lemah dalam BM dan BI
􀆒 Melaksanakan 1BestariNet ke semua sekolah untuk integrasi ICT dalam pembelajaran harian
􀆒 Memastikan sokongan daripada PPD ditumpukan kepada sekolah berprestasi rendah termasuk kepada murid dengan keperluan khusus melonjakkan peningkatan sekolah
􀆒 Meningkatkan enrolmen dan penglibatan ibu bapa serta menawarkan pendidikan vokasional yang lebih baik untuk meningkatkan enrolmen prasekolah dan sekolah menengah
􀆒 Mengukuhkan praktikum dalam program vokasional melalui peningkatan kolaborasi dengan sektor swasta
􀆒 Mentransformasi kementerian bermula dengan meletakkan pemimpin terbaik untuk menerajui JPN dan PPD bagi meningkatkan prestasi system penyampaian KPM

􀅀 Gelombang 2 ( 2016 -2020 ) Mempercepat Peningkatan Kemajuan system.
Dalam tempoh Gelombang 2, Kementerian akan melaksanakan perubahan struktur sistem pendidikan negara untuk mempercepatkan
perjalanan perubahan (rancangan untuk semua inisiatif akan bermula semasa Gelombang 1).

􀂇 Memperluas bimbingan dan sokongan untuk membantu guru bagi menambah pengetahuan dalam semua mata pelajaran, pemikiran,
kepimpinan, etika/kerohanian dan identiti nasional.
􀂇 Menyediakan kemajuan berdasarkan kompetensi dan prestasi serta menambah baik latihan pra-perkhidmatan untuk
memugarkan profesion keguruan
􀂇 Menambah baik kurikulum peringkat rendah dan melaksanakan kurikulum baharu peringkat menengah bagi meningkatkan standard kandungan dan pembelajaran setanding dengan standard antarabangsa
􀆒 Menghentikan kelas peralihan, menjalankan rintis bagi pilihan untuk immersion BI dan mengukuhkan penyediaan pendidikan bahasa ketiga untuk meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa
􀆒 Melaksanakan inovasi ICT untuk sekolah pedalaman, sekolah kurang guru dan sekolah kurang murid untuk menangani isu kapasiti
􀆒 Mengukuhkan program untuk kumpulan berkeperluan khusus seperti Orang Asli dan kumpulan minoriti lain, pintar cerdas dan berkeperluan khas
􀆒 Memperluas tawaran pendidikan vokasional melalui perjanjian pelaksanaan dengan pembekal pendidikan vokasional swasta
􀆒 Mengukuhkan Bahagian utama KPM, menyusun semula peranan Kementerian, JPN dan PPD untuk meningkatkan kebolehan dan
keupayaan pelaksanaan


􀅀 Gelombang 3 (2021-2025): Beranjak ke arah kecemerlangan dengan peningkatan keluwesan operasi.
Pada permulaan Gelombang 3, semua sekolah, guru dan pengetua/guru besar perlu menunjuk prestasi melebihi standard minimum. Oleh itu, Kementerian akan memberikan tumpuan kepada meningkatkan keluwesan operasi untuk memupuk budaya kepimpinan rakan sejawat bagi pembangunan kecemerlangan profesionalisme.

􀆒 Membenarkan pengurusan berasaskan sekolah dan autonomi dengan lebih meluas dari segi pelaksanaan kurikulum dan peruntukkan belanjawan bagi sekolah yang layak
􀆒 Meneruskan budaya kecemerlangan profesionalisme dibimbing rakan sejawat, iaitu guru dan pemimpin sekolah saling membimbing, berkongsi amalan terbaik dan memastikan rakan sejawat mempunyai kebertanggungjawaban memenuhi standard profesionalisme
􀆒 Meningkatkan inovasi dan pilihan bagi meningkatkan kemahiranberbahasa dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dan
menyediakan lebih pilihan untuk mempelajarai bahasa tambahan
􀆒 Melaksanaan program dan inovasi ICT bagi kumpulan berkeperluan khusus di seluruh negara untuk meningkatkan standard
pembelajaran
􀆒 Mengukuh dan mentransformasi Kementerian melalui pengukuhan kemajuan kerjaya bagi pegawai pada peringkat Kementerian
􀆒 Mengkaji semula struktur sekolah untuk menentukan keperluan bagi mengoptimumkan laluan dan pilihan persekolahan

KEBERHASILAN UTAMA YANG INGIN DICAPAI
􀆒 100% lliterasi murid dalam BI dan BM dan menguasai kemahiran numerasi selepas 3 tahun persekolahan: sasaran untuk BI akan ditentukan selepas garis asas diperoleh
􀆒 92% prasekolah , 98% sekolah rendah dan 95% enrolmen menengah rendah
􀆒 Pengurangan 25% jurang bandar dan luar bandar
􀆒 Prestasi Malaysia pada purata antarabangsa dalam kitaran TIMSS dan PISA seterusnya
􀆒 100% enrolmen prasekolah hingga menengah rendah, 90% enrollmen menengah atas
􀆒 50% pengurangan jurang bandar / luar bandar , 25% pengurangan jurang sosio ekonomi dan jantina
􀆒 Pencapaian Malaysia pada kedudukan negara sepertiga teratas dalam TIMSS and PISA
􀆒 Mengekalkan atau meningkatkan enrolmen
􀆒 Mengekalkan atau mengurangkan jurang bandar dan luar bandar , 50% pengurangan jurang sosio ekonomi dan jantina