Adakah Anak-Anak Kita Makan Dengan Betul?
Mengasuh anak-anak makan dengan betul
Sebagai ibu bapa, banyak yang anda boleh lakukan untuk menyemaikan tabiat makan yang sihat dalam diri anak anda.
Anda yang menentukan apa yang perlu dimasak dan dihidangkan untuk
keluarga anda. Ini adalah kerana anda merupakan orang yang paling
berpengaruh dalam kehidupan mereka, dan paling layak untuk menggalakkan
tabiat makan yang sihat.
Lebih penting lagi, anda berpeluang untuk menunjukkan teladan yang
baik. Anak-anak menganggap anda sebagai suri teladan. Lantaran itu, anda
boleh memainkan peranan paling berkesan dalam usaha melentur anak-anak
dan membiasakan mereka dengan tabiat makan yang sihat, baik di rumah
mahu pun di luar. Setelah menerapkan amalan ini dalam diri mereka, anda
tidak perlu lagi bimbang tentang kemungkinan mereka membuat pilihan
makanan yang salah. Malangnya, masih terdapat ramai ibu bapa di Malaysia yang tidak
berusaha untuk memberi anak-anak mereka makanan yang berkhasiat dan
menanamkan tabiat makan yang baik sejak mereka kecil, atau apabila
mereka mula bersekolah.
Adakah kanak-kanak Malaysia mengalami masalah pemakanan?
Kebanyakan kanak-kanak Malaysia mendapat makanan yang secukupnya.
Walau bagaimanapun, masih terdapat juga ramai kanak-kanak yang mungkin
mengalami masalah malpemakanan. Masalah ini timbul sama ada disebabkan
mereka tidak mendapat kalori dan nutrien secukupnya atau mereka
mengambil makanan secara berlebihan. Menurut Tinjauan Kebangsaan
Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) III yang dijalankan di seluruh negara
pada 2006, satu daripada lima kanak-kanak kita mengalami masalah
pemakanan, dengan berat badan dan ketinggian yang tidak sepadan dengan
usia mereka.
Makan secara berlebihan
Kumpulan kanak-kanak yang mengalami berat badan berlebihan adalah mereka
yang berumur antara 7 hingga 13 tahun. Kanak-kanak yang makan secara
berlebihan akan menjadi gemuk apabila dewasa. Kajian menunjukkan bahawa
keadaan ini boleh meningkatkan risiko mereka menghidap penyakit seperti
diabetes (kencing manis) dan hipertensi (tekanan tinggi) apabila usia
mereka meningkat. Berlebihan berat badan atau kegemukan juga menyebabkan
mereka menjadi lebih prihatin terhadap penampilan diri dan boleh
menimbulkan perasaan rendah diri.
Kekurangan zat makanan
Kanak-kanak dianggap kurang mendapat zat makanan apabila mereka tidak
mendapat cukup tenaga daripada makanan. Ini juga boleh mengakibatkan
kekurangan pengambilan pelbagai nutrien penting. Kanak-kanak ini lebih
mudah mendapat jangkitan dan selalunya tidak mencapai potensi
pertumbuhan yang optimum.
Mengapa kanak-kanak mengalami masalah pemakanan?
Rakyat Malaysia boleh dikatakan hidup senang dan dimanjakan dengan
banyak pilihan makanan. Jadi, mengapa masih ramai kanak-kanak kita yang
mengalami masalah pemakanan? Sebab utama ialah tabiat makan yang tidak
betul dan pengambilan makanan yang tidak seimbang. Ini berpunca daripada
kekurangan pengetahuan tentang pemakanan di kalangan ibu bapa, dan juga
kekurangan perhatian dan penjagaan ibu bapa.
Satu kajian yang dijalankan dua tahun lepas oleh Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM) ke atas lebih 9,000 murid sekolah rendah
berumur 7-12 tahun menunjukkan bahawa kanak-kanak di Malaysia mempunyai
tabiat makan yang tidak sihat dan kurang melakukan aktiviti fizikal.
Hasil kajian itu juga menunjukkan:
1. Tidak mengambil sarapan
Satu dalam setiap tiga murid sekolah rendah tidak mengambil sarapan.
Apabila anak-anak anda tidak mengambil sajian pertama yang penting dalam
sehari, mereka tidak mendapat cukup tenaga untuk membolehkan mereka
cerdas dan memberi tumpuan dalam kelas. Mereka juga menjadi lesu dan
mudah merasa letih.
2. Snek tidak sihat
Empat daripada sepuluh murid sekolah rendah mengambil snek setiap hari.
Tabiat makan snek yang tidak sihat, sama ada mengambil snek terlalu
hampir dengan waktu makan atau mengambil snek dengan kalori tinggi dan
nutrien rendah seperti kentang goreng, coklat dan gula-gula, boleh
mengganggu selera anak-anak untuk makan sajian yang sihat apabila tiba
waktu makan.
3. Gaya hidup santai dan kurang aktiviti fizikal
Dua daripada lima murid sekolah rendah tidak aktif. Semakin ramai
kanak-kanak menghabiskan masa lapang mereka dengan aktiviti santai
seperti menonton televisyen, membaca, dan leka dengan permainan
komputer/elektronik. Tiada perbezaan besar antara kanak-kanak bandar dan
luar bandar.
Permulaan hari yang sihat
Jika anak anda cerewet makan, langkah pertama ialah kenal pasti punca
masalah. Adakah mereka tidak mengambil sarapan? Kurang aktiviti fizikal
atau kerap makan snek? Apabila sudah mengenal pasti puncanya, anda
boleh mengambil langkah yang sesuai untuk menangani masalah ini.
Sebagai ibu bapa, anda memainkan peranan yang sangat penting untuk
memperkasakan diri anda sendiri, supaya anda dapat menanamkan tabiat
makan yang sihat di kalangan anak anda sejak kecil. Pelajari asas
pemakanan yang baik dan turunkan pengetahuan ini kepada anak-anak anda.
Ajar anak anda memilih makanan mereka dengan bijak, serta mengamalkan
tabiat makan yang sihat dan gaya hidup aktif sejak kecil. Ini akan
memastikan mereka mempunyai asas yang kuat untuk membesar menjadi remaja
dan orang dewasa yang sihat sepanjang hayat.
Rencana ini dibawakan kepada anda oleh Jawatankuasa Pemandu Bulan Pemakanan Malaysia (NMM) Kebangsaan.
Sumber: http://www.moh.gov.my